Sunday, April 30, 2006

Kuliah 4: Tingkat-tingkat Solat (Kuliah pada 5 Feb 2006)

Kuliah hari ini mengimbas kembali tingkat-tingkat solat dan dikupas oleh Ustazah Rohani.

Berkat dari Tuhan adalah hidayah & taufiq. Hidayah yang tidak dijaga akan hilang umpamanya apabila orang yang mengakui dirinya Islam tetapi merasa tidak perlu solat. Maka, hendaklah kita selalu berdoa agar Allah tidak menarik kembali hidayah yang telah diberi kepada kita dan berdoa juga agar kita sentiasa mendapat pandangan rahmat-Nya.
Oleh yang demikian, apabila setiap hari bangun dari tidur maka hendaklah kita bertafakur sejenak dan mensyukuri nikmat yang pertama kita peroleh hari itu, iaitu nikmat hidup, menghirup udara kurniaan Tuhan.

Seterusnya, niatkan apa-apa yang akan kita lakukan pada hari itu agar ia menjadi ibadah, sama ada memasak untuk suami, anak dsb.

Ini adalah kerana perkara baik akan menjadi ibadah apabila wujud 5 perkara iaitu:
1. niat yang betul
2. perlaksanaan yang betul
3. hasil/natijah yang betul
4. halal (sah dari sudut syariat)
5. tidak meninggalkan ibadah asas.
contoh yang mudah adalah kenduri perkahwinan. Niatnya adalah untuk mengumumkan perkahwinan. Perlaksanaannya mengikut syarak spt tiada unsur2 melalaikan seperti joget lambak; Hasilnya akan tererat kembali silaturrahim antara keluarga yang jauh-jauh, bukan akibatnya keluarga bergaduh dsb. Sumber untuk menanggung belanja kenduri adalah halal; Ibadah pokok tidak ditinggalkan (contoh: meninggalkan sembahyang kerana takut terlepas pemberian wang dari tetamu yang hadir untuk "bersalam")

Terdapat perbezaan antara orang Soleh & Orang Bertaqwa.
Orang soleh terjamin hidupnya di akhirat tetapi didunia belum pasti terjamin hidupnya. Seperti kita melihat orang alim yang hidupnya melarat, susah.
Manakala orang bertaqwa pula adalah orang yang terjamin selamat di dunia & di akhirat. Jika dia kaya, rezekinya itu tidak akan melalaikannya dan dikongsi dgn orang lain. Tetapi jika dia miskin didunia dia sentiasa berada di dalam keadaan yang paling redha dan tidak meminta-minta.

Contoh yang paling baik adalah Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling kaya kerana jika dimintanya gunung menjadi emas, pasti kekasih Allah itu akan memperolehinya. Tetapi Baginda tidak meminta itu, malah dikongsi kesusahan bersama umatnya, menahan lapar dengan mengikat batu pada perutnya. Sehinggakan pada saat kematian Baginda yang paling lembut itu, baginda berdoa kepada Allah supaya kesakitan sakratul maut seluruh umatnya dipindahkan kepadanya. Begitu kasihnya Rasulullah SAW kepada kita.... apakah tandanya kita mengasihi Rasulullah SAW, membalas kasihnya itu...? Maka hendaklah kita sentiasa berselawat kepadanya dan mengikuti sunnahnya.

Oleh itu hendaklah kita menjadikan solat sebagai waktu sepenuhnya untuk merasakan diri sebagai hamba Allah SWT. Dan apa jua yang terjadi, fikirkan peranan Tuhan dalam setiap kejadian.

Jangan kita biarkan akal manusia kita berfikir-fikir dan mencari logik kerana syaitan akan mengambil peluang untuk menyesatkan kita bila kita dalam keadaan demikian. Contohnya, jika seseorang itu kematian anak, mungkin dia redha asalnya tetapi bila orang lain asyik bertanya-tanya bagaimana perasaannya kematian anak, bila bercampur dengan hasutan syaitan, akhirnya dia akan cuba mempertikaikan mengapa perkara itu terjadi kepadanya dan bukan orang lain. Maka hendaklah kita sentiasa kembali kepada Allah, melalui solat, mengadu kepadaNya. Apabila kita selalu mengadu kepadaNya, pasti suatu hari, Allah akan menjawab persoalan kita melalui ilham, gerak hati.

Solat juga membakar sifat-sifat mazmumah (keji) dalam diri manusia, dan hasilnya akan wujud sifat-sifat baik sebagaimana yang terkandung di dalam nama-nama Allah yang 99 kecuali sifat takbur. Sifat takbur itu hanyalah untuk Allah semata-mata.

Harap kawan2 yg lain dapat menambah apa yang terkurang disini...
Sekian sebagai peringatan diriku yang pelupa...

No comments: