Wednesday, September 30, 2009

Fwd: AU Puasa Sunat Syawal



---------- Forwarded message ----------
From: Siti Khatijah <siti_k@essemgroup.net>
Date: 2009/9/30
Subject: AU Puasa Sunat Syawal
To: ampangumi@googlegroups.com


Puasa sunat Syawal

 

Oleh DR. ABDUL BASIT ABD. RAHMAN

 

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi) yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)". (Rasulullah menjelaskan): "Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi. (Sahih Muslim no: 1151)

 

 

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

 

Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. (Sahih al-Bukhari no: 2840) Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.

 

Dalil puasa sunat Syawal

 

Abu Ayyub Al-Ansari r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].

 

Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.

 

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

 

Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

 

Hikmah puasa sunat Syawal

 

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.

 

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberi ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

 

Selain itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.

 

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: "Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai".

 

Hukum puasa sunat

 

Syawal

 

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi r.h: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

 

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadan. (Syarah Sahih Muslim 8/56)

 

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama adalah:

 

l Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

 

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

 

Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

 

Maka puasa enam itu boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah tamat bulan Syawal.

 

Namun adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (ali 'Imran: 133)

 

* Melaksanakan puasa sunat Syawal sebelum qada puasa Ramadan.

 

Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.

 

* Pendapat pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah r.a pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Syaaban yang akan datang.

 

Aisyah r.a berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban" * kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. (Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan * kerana sibuk melayani Rasulullah SAW ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa'id.)

 

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.

 

Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

 

* Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya. Ini berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini.

 

Hadis tersebut berbunyi: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.

 

Rasulullah SAW mensyaratkan "berpuasa Ramadan" dahulu, kemudian barulah "mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal". Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

 

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana ia lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat.

 

Ini disokong dengan ayat 133 surah ali-Imran yang dikemukakan tadi. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal sunat.

 

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

 

Menggabungkan puasa qada dan puasa enam

 

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

 

Ulama khilaf dalam hal ini. Sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

 

Jika dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.

 

Ada di kalangan ulama Syafieyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.

 

Namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah)

 

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: "Jika seseorang berpuasa qada atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya).

 

"Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadan kemudian berpuasa pada bulan Syawal.

 

"Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam)". (Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut)

 

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah.

 

Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qada dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus melakukan solat fardu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahu a'lam.

 

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT.

 

Memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

 

Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

 

SUMBER :http://mypembaca.blogspot.com

 

 Siti

Finance and Admin Department

ESSEM CORPORATION SDN BHD (126457-T)

 

WISMA ESSEM, 9159 JALAN BANDAR 4,

TAMAN MELAWATI, 53100 KUALA LUMPUR.

MALAYSIA

 

TEL  :+603-4108 3371/3270

FAX  :+603-4107 5144 / +603-4108 3273